KUALA LUMPUR 16 Mac - Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan kadar dividen 4.5 peratus bagi tahun 2008.
Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman berkata, dividen tersebut yang diluluskan oleh Menteri Kewangan akan dikreditkan ke dalam akaun ahli pada 23 Mac ini.
Menurutnya, kadar dividen tersebut lebih rendah berbanding 2007 disebabkan peningkatan peruntukan rosot nilai pelaburan.
Katanya, ini ekoran kejatuhan menjunam nilai pasaran ekuiti global akibat krisis kewangan dunia sekali gus menyebabkan penurunan ketara pendapatan bersih kumpulan wang tersebut.
''Bagaimanapun KWSP mencatatkan pendapatan kasar tertinggi pernah dicapai sebanyak RM20 bilion pada tahun 2008, meningkat 9.36 peratus berbanding pendapatan kasar tahun sebelumnya sebanyak RM18.29 bilion,'' kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.
KWSP memperuntukkan sebanyak RM4.69 bilion pada 2008 untuk rosot nilai pelaburan ekuiti dalam dan luar negara, berbanding hanya RM0.52 bilion pada 2007.
Daripada jumlah peruntukan 2008, sebanyak RM3.2 bilion diperuntukkan untuk ekuiti luar negara.
Sementara itu, Samsudin berkata, pendapatan bersih KWSP pada 2008 ialah RM14.26 bilion selepas ditolak peruntukan rosot nilai ekuiti dan hutang ragu, bayaran dividen untuk pengeluaran, perbelanjaan pelaburan, perbelanjaan operasi dan bayaran manfaat kematian serta hilang upaya.
Jelasnya, jumlah itu merupakan penurunan 15.47 peratus berbanding pendapatan bersih 2007 sebanyak RM16.87 bilion.
Pada masa yang sama, Samsudin berkata, ekuiti masih merupakan antara penyumbang terbesar kepada pulangan KWSP pada 2008, mewakili 34.82 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar KWSP.
''Ekuiti memberikan pulangan kedua terbesar kepada KWSP sebanyak RM6.67 bilion pada 2008 berbanding RM5.37 bilion pada 2007.
"Sehingga September tahun lepas, KWSP telah menunjukkan prestasi yang baik dalam ekuiti,'' katanya.
Tambah beliau, berikutan krisis kewangan dunia, prestasi pelaburan ekuiti KWSP jatuh kurang daripada 20 peratus, seterusnya memberikan kesan kepada bayaran dividen.
Bagaimanapun, katanya, prestasi KWSP adalah lebih baik berbanding dengan indeks komposit Bursa Malaysia yang merosot kira-kira 40 peratus dari akhir Disember 2007 hingga Disember 2008.
Mengenai pinjaman dan bon pula, Samsudin memberitahu, pinjaman dan bon merupakan penyumbang terbesar pendapatan kasar KWSP pada 2008 dengan mencatatkan pulangan RM6.78 bilion berbanding RM5.91 bilion pada 2007.
Katanya, sekuriti kerajaan pula merupakan penyumbang ketiga terbesar pendapatan dengan memperoleh pulangan RM4.94 bilion berbanding RM4.88 bilion pada tahun sebelumnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Samsudin berkata, setakat 31 Disember 2008, jumlah keseluruhan dana pelaburan KWSP meningkat sebanyak RM28.99 bilion kepada RM342 bilion berbanding RM313.01 bilion pada 2007.
"KWSP bersedia menghadapi tahun 2009 yang lebih mencabar kesan krisis kewangan global yang masih berterusan.
''Bagaimanapun KWSP perlu sentiasa berhati-hati dan terus berusaha memberikan pulangan untuk faedah semua ahli melalui strategi pelaburan yang berhemah,'' katanya.
No comments:
Post a Comment