ainul.ahsan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 15 Mac - Teori decoupling yang merujuk kepada ekonomi Asia tidak bergantung sepenuhnya kepada Amerika Syarikat (AS) merupakan punca utama kebanyakan negara Asia termasuk Malaysia mengambil langkah yang agak lewat dalam menangani krisis ekonomi global.
Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, seperti negara-negara lain, Malaysia juga pada awalnya turut mempercayai teori tersebut berdasarkan ia menjadi pandangan kebanyakan pakar ekonomi dunia, selain melihat pertumbuhan kukuh ekonomi India, China, Jepun dan Timur Tengah pada tahun lalu.
''Kita ingat teori decoupling tersebut benar memandangkan Malaysia sendiri tidak bergantung 100 peratus kepada AS.
Beliau mengakui, kerajaan mula sedar masalah ekonomi semakin mencabar dan memberi ancaman kepada negara apabila mendapati prestasi ekonomi negara semakin menyusut pada bulan November dan Disember tahun lalu serta Januari tahun ini.
''Malaysia memang langsung tidak menyangka keadaan ekonomi akan menjadi buruk apabila akhirnya China dan India juga terjejas kerana bergantung kepada AS.
''Apa yang boleh dikatakan ialah tidak ada satu negara pun yang terkecuali daripada kemelut ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia dalam satu pertemuan di sini, baru-baru ini.
Menurut beliau, faktor itu menyebabkan Kerajaan Pusat perlu memberi peruntukan besar dalam pakej rangsangan ekonomi kedua yang bernilai RM60 bilion memandangkan ekonomi negara kini dalam keadaan tidak selesa.
Katanya, peruntukan besar itu bukan sahaja bertujuan untuk mengelakkan Malaysia daripada terjerumus dalam kegawatan tetapi juga mengurangkan impak kegawatan ekonomi.
''Jika tidak, kita khuatir akan terjerumus dalam kegawatan yang lebih serius ,'' katanya.
Mengulas mengenai dakwaan para penganalisis tempatan bahawa Malaysia akan mengalami kemelesetan teknikal, Menteri Kewangan Kedua itu berkata, ''kemelesetan teknikal tersebut tidak penting sangat kerana ia berlaku apabila negara mencatatkan pertumbuhan negatif pada dua suku berturut-turut tetapi kita belum menghadapinya lagi''.
Malah, ketika ditanya mengenai prestasi ekonomi pada suku pertama, Nor Mohamed berkata, ia belum diketahui lagi tetapi berpendapat dalam keadaan sekarang sudah pasti 'angka-angka' yang ada tidak begitu menggembirakan.
Oleh sebab itu, beliau berkata, Kerajaan Pusat kini bersungguh-sungguh memastikan setiap perincian dalam pakej rangsangan kedua itu dilaksanakan dengan cara terbaik dan berkesan supaya Malaysia mampu mencapai pertumbuhan sekurang-kurangnya satu peratus.
Jika tidak, dikhuatiri ekonomi Malaysia boleh menyusut kepada -25 peratus, tegasnya.
Meskipun begitu, beliau tetap melahirkan kebimbangan kemungkinan Malaysia akan mengalami kemelesetan sekiranya semua langkah pemulihan yang dilaksanakan di AS tidak berjaya.
''Dalam keadaan sekarang, kita cuma menaruh harapan AS dapat mula kembali stabil lebih cepat supaya ekonomi kita kembali stabil kemungkinan besar pada suku keempat,'' tambah beliau.
Mengulas lanjut, Nor Mohamed yang turut terlibat dalam menangani krisis ekonomi Asia 1997/98 mengakui krisis ekonomi semasa adalah lebih hebat dan lebih mencabar.
Cuma, Malaysia masih mempunyai kelebihan daripada sistem kewangan yang begitu utuh, sekali gus membolehkan negara menggunakan kaedah kredit untuk memastikan negara mempunyai aliran tunai.
Mengulas mengenai kebimbangan peningkatan defisit berikutan peruntukan besar dalam pakej kedua itu, beliau berkata, kadar 7.6 peratus adalah paras yang masih boleh diuruskan.
''Kalau kita berbelanja RM10 bilion hingga RM15 bilion, defisit meningkat sebanyak tujuh peratus tetapi kita tidak semestinya mengunakan dana kerajaan sahaja.
''Sistem perbankan kukuh, modal kita masih tinggi iaitu 13 peratus sedangkan minimum lapan peratus, nisbah hutang tertunggak pula 2.5 peratus sahaja dan kecairan hampir RM200 bilion. Jadi kita kena menggunakan sistem yang ada dengan sebaik mungkin.
''Defisit tidak begitu penting dalam keadaan sekarang kerana apabila ekonomi kembali pulih, negara mempunyai pilihan untuk mengatasinya,'' ujar beliau.
No comments:
Post a Comment