Tuesday, September 2, 2008

Abu Bakar Abdul Manap


Nasihat pejuang kemerdekaan

Oleh Norzainura Abdul Majid


KUALA LUMPUR 28 Ogos - Melihat raut wajahnya yang berkedut seribu dan kehidupannya yang serba sederhana, tiada siapa menyangka bahawa beliau pernah menurunkan bendera Union Jack bersama lima rakannya yang lain kemudian menaikkan bendera tanah air tercinta Malaysia pada kali pertama negara menyambut kemerdekaan 31 Ogos 1957.

Perasaan bangga dan terharu berbaur menjadi satu tatkala bendera British itu diturunkan dan bendera Malaysia megah berkibar di Kelab Selangor ketika itu.

Datuk Abu Bakar Abdul Manap, 108, berkata, ketika itu dia bersama rakannya daripada Pemuda UMNO iaitu Syed Jaafar Albar, Datuk Tahir

Majid, Saidon Kechut, Hamzah Alang dan Saad Yahya cukup bertuah kerana merekalah orang pertama yang menaikkan bendera Malaysia.

Tetapi kini semua rakannya itu telah lama meninggal dunia dan hanya tinggal dia seorang sahaja yang masih hidup serta menyimpan kenangan lalu yang sentiasa tersemat utuh di sanubarinya.

Air matanya menitis apabila bercerita tentang kemerdekaan dan mengingati bagaimana jerih dan payah pemimpin terdahulu untuk menuntut kemerdekaan.

Katanya, dia juga pernah mengiringi Tunku Abdul Rahman Putra ke London dalam misi menggubal undang-undang Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu sebelum negara mencapai kemerdekaan.

''Ketika balik dari London kami disambut secara besar-besaran dan kemudian Tunku mengumumkan bahawa negara kita akan merdeka pada 31 Ogos 1957," ujarnya dengan suara yang bergetar menahan sebak.

Tambahnya, perjuangan pemimpin terdahulu sangat tulus dan ikhlas serta cukup berhemah demi kepentingan bangsa, agama dan negara daripada kepentingan peribadi.

Ketika itu, katanya, perpaduan di kalangan orang Melayu cukup utuh.

Selepas Malaysia merdeka katanya, beliau telah berkhidmat di Pejabat Perdana Menteri sebagai Penasihat Kanan Politik dan Pentadbiran kepada Tunku Abdul Rahman, kemudian Tun Abdul Razak dan terakhir Tun Hussein Onn.

Mengimbas kenangan pahit sebelum kemerdekaan, beliau mendakwa pernah ditangkap dan dipenjarakan pada tahun 1948 kerana menentang British di Kuala Lumpur, kemudian dihantar ke penjara Kluang selama 3 bulan, kemudian di pindahkan ke penjara Tanjung Bruas selama 2 tahun.

Selepas itu beliau dipindahkan pula ke penjara Ipoh selama dua setengah tahun dan akhirnya di penjara Morib Selangor selama enam bulan sebelum dibebaskan sepenuhnya.

Katanya, beliau juga pernah aktif dalam Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ketika Ishak Muhammad (Pak Sako) menjadi Presiden parti itu.

Menjelang sambutan Hari Kemerdekaan ke-51, beliau menasihati pemimpin sekarang agar jangan mementingkan kuasa dan pangkat tetapi mengutamakan keutuhan dan perpaduan orang Melayu.

Beliau juga menasihatkan agar generasi masa kini sentiasa belajar dan menimba ilmu agar menjadi bangsa yang berdaya maju di samping jangan lupa ajaran agama yang menjadi asas pegangan hidup.

''Jangan lupa, kemerdekaan dan kesenangan hari ini adalah atas daya usaha pemimpin terdahulu yang menuntut kemerdekaan dengan airmata dan darah, jadi jangan sia-siakan kemerdekaan yang ada dan janganlah sampai kita dijajah sekali lagi," ujarnya dengan linangan air mata.

No comments: