Tuesday, September 2, 2008

Dr. APJ Abdul Kalam


BEKAS Presiden India, Dr. APJ Abdul Kalam dilihat sebagai bapa kepada pembangunan teknologi peluru berpandu yang membawa India kepada taraf negara kuasa besar dunia. Beliau dilahirkan dalam keluarga pembina bot dan imam pada tahun 1931 di daerah Dhanushkodi, India. Selaku jurutera aeronautikal yang paling masyhur di negaranya, beliau menyumbang dengan gigih dalam pembangunan kenderaan pelancar satelit pertama India, SLV-3 dan peluru berpandu seperti Trishul, Agni dan Pritvi. Beliau memulakan pendidikan di Sekolah Tinggi di Ramanathanpuram, melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda sains di Kolej St Joseph di Tiruchi dan Kejuruteraan Aeronautikal di Institut Teknologi Madras, India.

Beliau berada di negara ini selama empat hari bermula Khamis minggu lepas sebagai memenuhi jemputan Khazanah Nasional Berhad untuk memberikan ucapan pada program Syarahan Global Khazah.

Dalam satu pertemuan ringkas bersama wartawan Utusan Malaysia, ARSHAD KHAN, Dr. APJ Abdul Kalam berkongsi sedikit pandangan beliau mengenai hala tuju India dan hubungannya dengan Malaysia.

Utusan: Mengapa Doktor sebagai seorang saintis sangat gemar bercakap mengenai aspek-aspek spiritual, yakni sesuatu yang jarang dilakukan para saintis?

Dr. Abdul Kalam: India merancang untuk menjadi negara maju dari segi ekonomi yang mantap menjelang 2020. Ertinya kemiskinan akan dikurangkan atau tiada langsung.

Namun, timbul pula persoalan sama ada kita akan gembira bila kita sudah maju. Mungkin kita akan makmur tetapi adakah jiwa kita akan gembira.

Jika dilihat, banyak negara yang maju kini tetapi rakyatnya tidak kelihatan gembira. Pada saya, kegembiraan bukan sahaja dari aspek pembangunan materialistik tetapi juga datang dari benda yang lain.

Kita perlukan sesuatu agar anak-anak kita akan bahagia dan gembira. Sebab itu saya suka bercakap mengenai aspek spiritual. Saya yakin spiritual harus bergerak sejajar dengan kemajuan kebendaan.

Siapa yang mempengaruhi Doktor ke arah menjadi seorang ahli saintis yang terkemuka?

Dr. Abdul Kalam: Saya akan katakan yang banyak mempengaruhi saya adalah para guru saya.

Salah seorang adalah Shri Siva Subramanim Iyer yang saya ingat pernah sekali berusaha memahamkan kami bagaimana burung terbang.

Dia melukis sayap, ekor, badan dan kepala burung atas papan hitam. Dia menerangkan bagaimana burung mengangkat dirinya dan terbang, bagaimana haiwan itu mengubah arah ketika terbang dan bagaimana ia terbang dalam satu formasi tertentu.

Beliau menggunakan lisan, grafik dan pelbagai cara untuk menerangkan tetapi kami tetap tidak faham. Justeru petang itu, beliau membawa kami semua satu kelas ke kampungnya di tepi pantai di Rameshwaram di Tamil Nadu, India.

Kami melihat dengan mata sendiri bagaimana burung mengepak sayap, ekor burung berpusing dan akhirnya baru kami faham apa yang beliau cuba sampaikan. Cara beliau mengajar amat meninggalkan kesan. Beliau umpama wujud dalam jiwa saya dan petunjuk sebenar saya di dunia ini.

Sepetang bersama guru saya itu mengubah hidup saya menjadi seorang jurutera roket, jurutera aeroangkasa dan ahli teknologi.

Cara guru saya itu yang menggalakkan saya bertanya dan memperlihatkan contoh visual menjadi titik perubahan dalam hidup saya.

Doktor menyumbang dalam banyak perkara, tetapi apakah yang doktor lihat sebagai sumbangan terbesar?

Sumbangan terbesar saya mungkin kepada para remaja di India. Saya lihat kini remaja di negara saya sudah mempunyai keyakinan diri yang lebih tinggi.

Mereka berkata ‘saya boleh lakukan ini’ dengan penuh keyakinan. India memiliki 54 juta golongan remaja dan saya yakin mereka boleh berjaya.

Seperti yang selalu saya katakan, akal yang disemarakkan adalah sumber yang paling kuat di atas muka bumi ini.

Saya percaya kuasa remaja jika diarah dan dikawal dengan betul, boleh membawa perubahan kepada manusia sejagat.

Boleh doktor jelaskan sedikit idea platform ilmu dunia yang selalu doktor sebut?

Dr. Abdul Kalam: Ia adalah bagi mengintegrasikan kemampuan teras negara-negara rakan India untuk bersama mencari penyelesaian kepada semua permasalahan manusia masa kini.

Platform ini akan membolehkan penghasilan reka bentuk secara bersama, pembangunan, penghasilan sesuatu yang kos efektif dan pemasaran ilmu pengetahuan atau sistem tertentu berdasarkan kepada kemampuan teras negara-negara rakan.

Misinya adalah untuk menggabungkan dan mewujudkan rangkaian melibatkan institusi penyelidikan dan pembangunan (R&D), universiti dan industri.

Dengan kemungkinan berlakunya penggabungan antara teknologi nano, bio dan teknologi maklumat, platform ilmu dunia akan dapat mengerakkan kerjasama dalam bidang yang sangat penting untuk menjadikan dunia sebagai sebuah tempat yang selamat, mampu menampung, selamat dan makmur.

Antara bidang itu?

Antaranya ialah termasuk tenaga bebas iaitu transformasi bahan bakar fosil kepada tenaga yang boleh diperbaharui seperti tenaga hidro, solar dan tenaga nuklear.

Selain itu, platform ilmu dunia mungkin boleh digunakan untuk mencari kaedah terbaik mengubah air masin menjadi air tawar menggunakan tenaga solar, penjagaan kesihatan melalui diagnosis, pembangunan dan penghasilan vaksin serta pengeluaran makanan.

Malaysia sedang giat bergerak ke arah menguasai teknologi angkasa, apakah Malaysia perlu berbuat demikian?

Bagi India umpamanya, jika ada 600 kampung memerlukan sambungan komunikasi, maka satelit adalah jalan terbaik. Begitu juga dengan teknologi penderiaan jauh.

Boleh digunakan untuk memantau hasil bumi atau hutan antara negeri. Maka perlu ada program yang berorientasikan orang ramai. Gunakan teknologi angkasa lepas untuk kebaikan manusia.

Mengesan

Malaysia juga tidak terkecuali dari keperluan memajukan teknologi angkasanya termasuk pembangunan satelit.

Satelit membantu dalam banyak perkara termasuk penderiaan jauh yang membantu mengesan hasil bumi.

Di atas segalanya, program angkasa lepas bukan bertujuan untuk kemewahan tetapi merupakan satu keperluan.

Malaysia juga berminat memajukan teknologi nuklear, apakah ini langkah yang tepat?

Tenaga nuklear adalah tenaga yang bersih. Penggunaan arang batu umpamanya menghasilkan karbon dioksida yang terlalu banyak. Kesannya ke atas alam memang boleh dipersoalkan. Justeru tidak salah Malaysia juga bergerak ke arah penggunaan tenaga nuklear.

Bagaimana dari segi kesan ekonomi ke atas Malaysia kerana nuklear dikatakan mahal penghasilannya?

Kononnya tenaga nuklear mahal adalah satu fiksyen semata-mata. Sebagai perbandingan, kos sebanyak hampir RM309 ribu diperlukan untuk menghasilkan satu megawat tenaga menggunakan arang batu, terma pula sebanyak hampir RM387 ribu manakala jumlah RM619 ribu untuk menghasilkan satu megawat tenaga menggunakan nuklear.

Namun, jika kita menghasilkan tenaga nuklear pada kapasiti yang banyak, maka harganya akan menjadi jauh lebih murah berbanding bahan-bahan yang lain.

Kalau kita pergi pada skala yang besar, kos akan turun ke tahap minimum dan hasilnya adalah sumber tenaga yang bersih.

Apakah India dan Malaysia boleh berjaya dalam visi 2020 masing-masing?

Saya yakin, kedua-dua negara akhirnya akan menjadi sebuah negara maju walaupun kaedahnya (ke arah itu) mungkin berbeza. Saya percaya misi untuk kemajuan boleh dicapai.

Mungkin kedua negara boleh mewujudkan kerjasama dalam bidang tenaga atau perkhidmatan kesihatan umpamanya.

Kalau India dapat mengekalkan Pengeluaran Negara Kasarnya (GDP) pada tahap pertumbuhan 10 peratus setahun, maka kita boleh mencapai tahap negara maju dalam 10 tahun akan datang.

Ini lebih awal dari Malaysia juga tidak terkecuali daripada keperluan memajukan teknologi angkasanya termasuk pembangunan satelit, visi 2020 yang kita rancang dan sedang usahakan kini.

Doktor diketahui umum juga mendalami banyak agama, apakah yang doktor temui?

Daripada semua agama yang saya kaji, ada dua komponen yang terpenting. Satu adalah teologi dan satu lagi adalah spiritual. Untuk teologi, setiap agama mempunyai sistemnya yang unik yang dipertahankan.

Namun, unsur spiritual adalah faktor yang sama untuk semua agama. Ia adalah jambatan yang menghubungkan semua agama.

No comments: