Tuesday, September 2, 2008

PIBG

ARKIB : 01/09/2008
Jangan salah faham fungsi PIBG

KEBANYAKAN kita terlibat dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Namun masih ramai antara kita yang tidak memahami fungsi sebenar PIBG.

Akibatnya, ada kalanya PIBG dijadikan medan perdebatan di kalangan ibu bapa dan guru yang melibatkan pencapaian prestasi akademik dan moral anak-anak jagaan kita.

Justeru, demi kebaikan anak-anak jagaan kita (ibu bapa) dan anak-anak didikan kita (guru) adalah diharapkan semua ahli PIBG memahami matlamat asal penubuhan PIBG agar kita semua dapat bergerak di landasan yang betul dalam suasana yang penuh harmoni.

Berikut adalah sebahagian daripada pekara asas yang perlu difahami oleh semua ahli PIBG dari segi fungsi dan batasan kuasa:

PIBG yang ditubuhkan di semua sekolah kerajaan adalah bertujuan untuk mewujudkan permuafakatan antara ibu bapa dan guru di sekolah yang berkenaan.

Permuafakatan seumpama ini diharapkan dapat membina kesefahaman tentang tugas dan tanggungjawab bersama dalam usaha untuk meningkatkan mutu pengajaran guru-guru dan pembelajaran murid di sekolah, selain mempertingkatkan kerjasama dan perkongsian antara pihak sekolah, ibu bapa, dan komuniti setempat (school home community partnership).

Di samping itu, PIBG juga mempunyai peranan 'saling melengkapi' terhadap fungsi Kementerian Pelajaran dalam menyediakan prasarana, kemudahan, dan suasana sekolah yang kondusif kepada murid-murid dan guru-guru di sekolah berkenaan.

Maksud PIBG ialah:

a) Mengadakan suatu forum dan perkhidmatan bagi kebajikan dan kemajuan murid-murid di sekolah atau institusi pelajaran itu;

b) Membantu dan menambah usaha sekolah atau institusi pelajaran pada memenuhi kehendak-kehendak dan keperluan-keperluan kebendaan murid-murid dalam kegiatan-kegiatan mereka;

c) Membolehkan ibu bapa dan guru-guru di sekolah atau institusi pelajaran itu bertukar-tukar fikiran dan maklumat mengenai pelajaran pada amnya;

d) Memberi peluang kepada guru-guru dan ibu bapa di sekolah atau institusi pelajaran itu berunding antara satu dengan lain berkenaan dengan cara memperbaiki taraf pelajaran anak-anak mereka pada amnya.

Tujuan-tujuan PIBG pula ialah:

a) Menentukan supaya murid-murid di sekolah atau institusi pelajaran itu memperoleh faedah maksimum daripada kemudahan-kemudahan pelajaran mereka.

b) Menentukan supaya murid-murid di dalamnya mempunyai sumber-sumber yang perlu untuk membuat kerja-kerja sekolah mereka baik di rumah atau di sekolah atau institusi pelajaran itu.

c) Mewujudkan alam sekeliling yang sebaik-baiknya bagi sekolah supaya membolehkan murid-murid mencapai perkembangan kerohanian, keakhlakan, otak dan jasmani.

PIBG tidak boleh memperluaskan bidang kuasa kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan pentadbiran sekolah, pekerjaan dan syarat-syarat perkhidmatan guru dan kakitangan yang lain dalam sekolah.

PIBG tidak boleh melibatkan dirinya dalam hal-hal yang berkaitan dengan profesyen dan syarat-syarat perkhidmatan para guru sekolah berkenaan.

PIBG tidak boleh menjadikan dirinya sebagai mekanisme atau instrumen bagi tujuan menyelesaikan masalah atau apa-apa perkara yang berkaitan di antara dirinya dengan pengetua/guru besar atau staf sekolah atau Jabatan Pelajaran Negeri atau Kementerian Pelajaran Malaysia atau Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan.

PIBG di sekolah-sekolah juga diingatkan supaya tidak membabitkan persatuan dan sekolah dengan apa juga kegiatan yang boleh menggugat kestabilan sistem persekolahan dan perpaduan masyarakat setempat.

ROZMAL MALAKAN

Seremban

No comments: