Wednesday, March 18, 2009

ASM bayar 6.25 sen seunit


PERMODALAN Nasional Bhd (PNB) semalam mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.25 sen seunit untuk Amanah Saham Malaysia (ASM) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2009.

Kadar itu menurun 1.55 sen berbanding 7.8 sen yang diagihkan pada tahun kewangan sebelumnya, dan juga adalah pengagihan pendapatan terendah sejak ASM dilancarkan pada April 2000.

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, berkata pengagihan pendapatan sebanyak 6.25 sen itu akan membabitkan pengagihan pendapatan berjumlah RM407.58 juta kepada 402,513 pemegang unit yang melanggan 7.21 bilion unit ASM.


Katanya, tahun kewangan ASM yang berakhir 31 Mac 2009 adalah tahun kewangan yang mencabar berikutan suasana pelaburan global yang terjejas teruk akibat krisis kewangan global.

“Sebagai tabung ekuiti pendapatan berharga tetap, pengekalan modal menjadi keutamaan ASM. Strategi pelaburan berhemat membantu meningkatkan kemampuan ASM mengagihkan pendapatan secara berterusan pada tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan pengagihan pendapatan ASM di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Presiden merangkap Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

ASM yang diuruskan anak syarikat PNB, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) adalah dana ekuiti pendapatan berharga tetap RM1. Ia bermatlamat memberi peluang pemegang unit membuat pelaburan jangka panjang untuk menjana pelaburan kompetitif dan berterusan menerusi pelaburan dalam portfolio dipelbagaikan.

Ahmad Sarji menjelaskan, setakat 13 Mac lalu, ASM memperoleh pendapatan kasar berjumlah RM440.73 juta yang RM219.33 juta atau 49.76 peratus disumbangkan oleh pendapatan dividen daripada pelaburan syarikat.

Katanya, sebanyak RM137.84 juta atau 31.28 peratus disumbangkan oleh keuntungan penjualan saham syarikat, manakala RM83.56 juta (18.96 peratus) daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek.

Beliau berkata, pengiraan pendapatan ASM dilaksanakan menerusi pelaburan semula yang dikreditkan secara automatik ke akaun pemegang unit pada 1 April 2009.

“Bagi tujuan pengiraan pendapatan itu, semua urus niaga bagi ASM di pejabat dan ejen ASNB akan ditangguhkan mulai 25 Mac hingga 31 Mac 2009,” katanya.

Ahmad Sarji menambah, pemegang unit boleh mengemaskini buku masing-masing mulai 1 April 2009.

apabila urus niaga dibuka seperti biasa dan penyata pengagihan pendapatan serta laporan tahunan akan dihantar mulai pertengahan Mei 2009.

Sementara itu, Hamad Kama Piah berkata, PNB mempunyai keupayaan mengagihkan pendapatan 7.92 sen bagi ASM, tetapi menyifatkan 6.25 sen adalah munasabah dengan mengambil kira keadaan pasaran ketika ini.

Katanya, PNB ketika ini menguruskan 7.6 bilion unit ASM yang mana 2.1 bilion daripadanya adalah rizab tunai yang akan digunakan bagi membeli saham syarikat yang kukuh.

“Kami menyimpan tunai bagi peluang pembelian saham di pasaran. Antara langkah yang diambil termasuk meninjau saham yang kini diniagakan di bawah nilai sebenar,” katanya sambil menambah PNB akan membeli saham terpilih, namun enggan mengumumkan sektor berkenaan.

1 comment:

hrmk said...

sape la kata...simpan dlm fund bawah PNB fix harganya eh..? apara...