Wednesday, March 18, 2009

FGI jangka RM2.7 bilion daripada projek Chennai

NEW DELHI 17 Mac - Kumpulan Syarikat FGI Malaysia telah menyertai lapan konsortium yang lain dalam bidaan projek terminal kontena mega di Pelabuhan Chennai yang dianggarkan bernilai RM2.7 bilion.

Pengerusi Chennai Port Trust, K. Suresh berkata, sembilan syarikat telah mengemukakan permohonan untuk kelayakan bagi projek berkenaan yang dijangka dijalankan pada asas bina-kendali-pindah untuk tempoh 30 tahun.

"Kami perlu melalui proses penilaian dan perlu mendapatkan pelepasan keselamatan (daripada kerajaan pusat). Ia akan mengambil masa dua hingga tiga bulan lagi untuk keputusan dibuat mengenai siapa yang berjaya dalam bidaan itu," katanya.

Keputusan akhir dijangka diumumkan apabila kerajaan India yang baru memperoleh mandat memerintah. India akan mengadakan pilihan raya umumnya dari 16 April hingga 13 Mei.

Pembida lain ialah L&T Transco, Navayuga Engineering Co, Chennai, DP World of Mumbai, IL and FS Maritime Infra Co, Vadinar Oil Terminal, Mundra Port and SEZ, Lanco Infratech dan GVK-Leighton Consortium.

Katanya, terminal kontena itu, yang dijangka dibina dalam tempoh empat tahun, akan mempunyai kapasiti pengendalian kargo empat juta TEU (unit bersamaan dua puluh kaki) setahun.

"Terminal ini akan mempunyai dermaga sedalam hampir 20 hingga 22 meter yang akan membolehkan sebarang kapal induk besar berlabuh di sini. Ini akan mencergaskan perniagaan di Pelabuhan Chennai dan juga perkapalan tepi pantai.

Import dan eksport akan jadi lebih mudah untuk dikendalikan," katanya.

Apabila siap nanti, terminal berkenaan boleh mengendalikan kapal kontena bersaiz mega yang beratnya 15,000 TEU dan sepanjang 400 meter.

Pelabuhan Chennai yang berusia 126 tahun itu, adalah pelabuhan kedua terbesar di India yang sekarang ini boleh mengendalikan 1.2 juta TEU setahun. - BERNAMA

No comments: