Wednesday, March 18, 2009

Astro rugi RM529 juta

KUALA LUMPUR 17 Mac - All Asia Network Plc. (Astro) mencatatkan kerugian selepas cukai dan kepentingan minoriti sebanyak RM529 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2009 berbanding kerugian RM6 juta sebelumnya.

Pengerusinya, Datuk Badri Masri berkata, kerugian itu direkodkan ekoran kos penamatan perkhidmatan penyiaran di Indonesia pada tahun lalu serta jangkaan kerugian permulaan bagi pelaburan serantau.

''Perniagaan di Malaysia telah menunjukkan prestasi kukuh untuk tahun lalu walaupun berhadapan dengan suasana perniagaan yang mencabar. Kita perlu berhati-hati dan menguruskan perniagaan dengan tumpuan diberikan untuk meminimumkan kos dan penjimatan tunai.

''Namun kami percaya, Astro akan terus mengembangkan perniagaan televisyen berbayar, radio dan perniagaan kandungan dengan mengukuhkan nilainya bagi mencapai penguasaan pasaran selain mempraktikkan pengurusan kos secara efektif untuk mengekalkan margin dan pertumbuhan keuntungan,'' katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini hari ini.

Tambah Badri, Astro akan terus meningkatkan mutu produk dan perkhidmatan dan inovasi produknya.

''Konsisten dengan komitmen Kumpulan kepada polisi dividen progresif, lembaga pengarah mengumumkan dividen akhir pengecualian cukai sebanyak 2.5 sen sesaham menjadikan jumlah dividen untuk setahun sebanyak 10 sen sesaham,'' katanya.

Astro telah berbelanja sebanyak RM687 juta sebagai kos penyediaan perkhidmatan dan bantuan kepada cadangan kerjasama di Indonesia.

Astro mencatatkan peningkatan perolehan sebanyak 14 peratus kepada RM2.97 bilion.

Pendapatan Astro sebelum cukai, faedah, penyusutan dan pelunasan (EBITDA) bertambah sebanyak 20 peratus kepada RM671 juta berbanding RM557 juta.

Sementara itu, Astro turut merekodkan pertambahan pelanggan bagi perniagaan televisyen berbayarnya di Malaysia dan perniagaan radionya terus berkembang, jelas Badri.

''Kemajuan yang baik juga turut diperoleh melalui perniagaan televisyen berbayar kami di India,'' katanya.

Tambah beliau, fokus utama pertumbuhan pelanggan di Malaysia adalah penambahan pelanggan baru dengan pelaburan kandungan tempatan.

''Astro mempunyai pegangan sebanyak 20 peratus dalam Sun Direct, merupakan peneraju penyedia perkhidmatan televisyen satelit terus kepada rumah di India terus untuk berkembang ekoran permintaan yang tinggi terhadap perkhidmatan itu.

''Sun Direct kini mempunyai 2.5 juta pelanggan,'' katanya.

3 comments:

Aidy Shahiezad said...

hahaha... astro... astro...
ujung bulan nie, aku nak cut package astro aku jd paling minimum... ade banyak channel pn bkn terlayan sgt pn... sure rugi lagi nie... ;p

hrmk said...

harapnya, bil astro kite nie tak up le lagi....

ada beran nak bet?

Aidy Shahiezad said...

sure naik lagi berkuatkuasa january 2010... hehehe..